Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan hutang RM1.5 trilion yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah beban yang terpaksa ditanggung Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ia adalah hasil ketidakcekapan yang terpaksa diwariskan daripada kerajaan terdahulu.

“Hutang negara RM1.5 trilion adalah beban yang sedang diwarisi oleh kerajaan perpaduan hari ini dari regim pemerintah terdahulu.

“Kita perlu berwaspada, tingkatkan pendapatan kerajaan,belanja secara berhemah,mencegah ketirisan, mendigitalkan ekonom  dan meningkatkan integriti pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan di Twitter, hari ini.

Pemimpin DAP itu mengulas kenyataan Anwar pada Selasa lalu bahawa hutang negara termasuk liabiliti kini hampir RM1.2 trilion.

Anwar berkata, kedudukan hutang negara terkini itu sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut memberi kesan apabila bajet defisit akan meningkat daripada jangkaan awal iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk tahun 2022. – MalaysiaGazette