Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Kanak-Kanak untuk melindungi dan memelihara mereka daripada penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual dan pencabulan hak asasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan suruhanjaya itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan, kesejahteraan dan perlindungan kanak-kanak.

Kata beliau, masalah penganiayaan, eksploitasi, jenayah seksual dan pencabulan hak asasi terhadap kanak-kanak memerlukan tindakan yang pantas dari kerajaan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan Jemaah Menteri kerana telah bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Kanak-kanak.

“Suruhanjaya ini adalah sebuah badan berkanun yang bebas untuk melindungi dan memelihara kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau menjelaskan, fungsi suruhanjaya itu adalah untuk mempromosi kesedaran dan pendidikan terhadap hak kanak-kanak kepada kerajaan dan orang awam.

Katanya, ia juga berperanan menasihati dan membantu kerajaan dalam menggubal perundangan, arahan pentadbiran dan prosedur serta mengesyorkan tindakan yang perlu diambil.

“Selain itu, suruhanjaya ini juga berfungsi menasihati kerajaan berhubung obligasi antarabangsa di bawah Convention on the Rights of the Child (CRC) dan lain-lain perjanjian antarabangsa berkaitan.

“Ia juga akan mengadakan inkuiri dan menjalankan penyiasatan terhadap aduan mengenai pelanggaran hak kanak-kanak,” katanya.

Menurut Azalina, Pesuruhjaya Kanak-Kanak juga akan menerajui proses penubuhan suruhanjaya itu melalui penggubalan akta yang khusus sepanjang tempoh pelantikannya.

Jelas beliau, pengumuman Pesuruhjaya Kanak-kanak itu akan dilakukan selepas mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejajar dengan seksyen 5 (2) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast