Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi bercakap pada disang media mengenai kes letupan menyebabkan kematian tukang masak di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 JANUARI 2022.

SUNGAI BULOH – Polis selesai merakam keterangan tiga individu bagi membantu siasatan insiden kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 untuk sebuah sekolah rendah di Beranang, Selangor, pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S Sasikala Devi berkata, mereka terdiri daripada dua guru sebuah sekolah rendah termasuk guru besar dan seorang pekerja restoran.

“Polis menjalankan siasatan secara teliti dan menyeluruh dalam kes ini termasuk mengambil kira kemungkinan wujud elemen ‘orang dalam’.

“Pada masa sama polis juga akan memanggil pihak bank untuk membantu siasatan  dalam kes ini.

“Selain itu polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi di sekitar tempat kejadian namun setakat ini tiada sebarang petanda positif,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN:Wang bantuan persekolahan lesap dilarikan perompak

Beliau berkata demikian selepas hadir mendedahkan kejayaan menumpaskan sindiket Mercun bernilai RM10.5 juta di IPD Sungai Buloh pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan kelmarin berkata, wang BAP berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan seorang guru besar dari sebuah bank di kawasan Kampung Baru, Semenyih, disamun penjenayah pada Isnin lalu.

Kata beliau, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.17 tengah hari mengenai kejadian itu.

Menurut beliau, guru berusia 50 tahun itu mengeluarkan wang BAP yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya pada Selasa lalu tanpa ditemani orang lain atau polis pengiring.

Katanya lagi, selepas mengeluarkan wang dan meletakkan dalam sebuah beg, mangsa meninggalkan beg itu dalam keretanya jenis Toyota yang diparkir pada jarak 30 meter dari bank tersebut.

“Beg berisi wang diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang, sebelum mangsa ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

“Selang hampir 10 minit apabila kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin keretanya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg yang berisi wang tunai hilang disyaki telah dicuri,” tegasnya.-MalaysiaGazette