PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berjanji tidak akan mengungkit kesalahan tatakelola yang dilakukan kerajaan yang terdahulu kerana menyedari setiap individu memiliki kekuatan dan kelemahan masing-masing.
Namun tegas beliau, semua kelemahan yang telah dikenalpasti perlu dihentikan terutama cara menggunakan wang untuk diberikan kepada kelompok-kelompok tertentu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan harta-harta yang diambil secara tidak sah harus dipulangkan kepada negara dan rakyat.
“Soal penyeksaan peribadi banyak sudah telah dimaafkan tetapi negara ini mesti diselamatkan.
“Kita mahu Malaysia harum semula sebagai negara adil kepada rakyatnya dari semua kaum dan agama,” katanya ketika menyampaikan amanat Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengulas lanjut, Anwar memohon kerjasama semua pihak untuk meletakkan budaya asas baru, meninggalkan yang lampau dan memartabatkan nilai hidup lebih bermakna.
Beliau menaruh harapan agar dibukakan pintu hati rakyat untuk menyelamatkan negara ini.
“Saya menaruh keyakinan Jemaah Menteri dan rakan politik perjalanan Parlimen akan datang lebih siuman, tenang dan manusiawi daripada yang kita saksikan dulu.
“Jadi, genda dasar kerangka Madani bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah dan memenuhi keperluan semasa tetapi menyentuh pencorakan masa depan negara.
“Ini sebagai usaha dan upaya untuk mencipta lonjakan baharu buat negara,” katanya.
Sementara, Malaysia Madani akan menggantikan slogan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette