Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya mengutip hasil cukai melebihi sasaran pada tahun lalu, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri Kewangan itu memberitahu, jumlah tersebut akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada waktu yang sesuai.

Susulan kejayaan itu, beliau turut menyifatkan 2022 merupakan tahun cemerlang buat LHDN.

“Ia melebihi sasaran dan angka itu biarlah menteri yang umumkan. Ia satu angka yang terbaik setakat ini dan menteri akan umum pada masa yang sesuai.

“Jadi saya ingin mengatakan 2022 merupakan tahun paling cemerlang setakat ini buat LHDN,” katanya selepas membuat lawatan ke Menara LHDN di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr Mohd Nizom Sairi.

Pada tahun lalu, LHDN menetapkan sasaran RM139 bilion hasil cukai.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan mempengerusikan mesyuarat taklimat khas semasa mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

Ditanya sama ada langkah untuk mengurangkan hutang negara yang kini mencecah hampir RM1.5 trilion dengan menambah pendapatan negeri menerusi pengenalan cukai baharu dan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Ahmad menafikan perkara itu.

Beliau berkata, tidak semestinya dengan cukai sahaja kerajaan akan dapat menambah pendapatan negara.

“Tiada sebarang keputusan cukai baharu termasuk GST dan perbincangan mengenainya sejak Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.  Jadi saya ingin ulang balik.

“Apa yang saya ingin apa boleh kita lakukan mencari idea yang lebih kreatif dan dengan penambahan itu akan dapat banyak lagi membantu rakyat. Tidak semestinya dengan cukai sahaja kita akan tambah pendapatan negara,” katanya.

Semalam, Ahmad mengemukakan tujuh langkah untuk mengurangkan hutang negara yang kini mencecah hampir RM1.5 trilion.

Beliau berkata, antara langkah itu adalah dengan menambah pendapatan kerajaan.

Sebelum itu, Anwar mendedahkan hutang negara termasuk liabiliti kini sudah mencecah hampir RM1.5 trilion dan usaha menanganinya wajar disegerakan.

Kedudukan hutang negara terkini, menurut Perdana Menteri sudah mencecah melebihi 80 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ia turut memberi kesan apabila bajet defisit akan lebih melebar daripada jangkaan awal, iaitu 5.8 peratus daripada KDNK untuk 2022.

“Masalah hutang negara kini sudah mencecah RM1.2 trilion dan jika ia termasuk liabiliti, ia menjadi RM1.5 trilion,” kata Anwar. – MalaysiaGazette

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan bercakap kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Cyberjaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.