KUALA LUMPUR — Malaysia menerima sepasang arca singa dari kerajaan China sempena Tahun Baru Cina.

Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, arca yang diimport dari wilayah Hebei juga diberikan sempena ulang tahun ke-10 kerjasama strategik yang komprehensif antara Malaysia dan China.

“Arca singa ini dibuat sendiri dengan tangan dan seberat 10 metrik tan setiap satu serta tingginya adalah 2.5 meter,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Arca Singa sempena Tahun Baru Cina, di Jalan Petaling, malam tadi.

Pada majlis itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing menyerahkan arca tersebut dan sijil penghargaan kepada Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur, Datuk Ang Say Tee.

Arca singa yang baru dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sempena perayaan Tahun Baru Cina di Jalan Petaling, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 JANUARI 2023.

Kedua-dua arca singa itu diletakkan di hadapan pintu masuk Jalan Petaling sebagai simbolik keamanan dan kesejahteraan.

Tambah beliau, penghargaan ini menunjukkan betapa eratnya hubungan China dan Malaysia yang berpaksikan tiga faktor penting.

“China sekarang merupakan rakan perdagangan terbesar negara, tahun lepas jumlah nilai perdagangan adalah sebanyak AS$203 bilion. Ini adalah satu jumlah yang paling tinggi dalam sejarah sejak kemerdekaan.

“China adalah negara pelaburan langsung asing terbesar enam tahun berturut-turut, serta merupakan sumber pelancong yang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia ke Malaysia,” katanya.

Kor Ming berkata, dengan hubungan erat ini, sekiranya Malaysia dapat menyambut kedatangan 3 juta pelancong Cina pada tahun ini, industri pelancongan negara berpeluang kembali ke paras sebelum pandemik.

Jelas beliau, mengikut statistik kedutaan China, setiap pelancong China berbelanja hampir RM6,000 seorang di negara ini yang mana ia mampu merancakkan lagi ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Malaysia adalah negara pertama yang mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan China di rantau Asia Tenggara iaitu sejak 31 mei 1974,” katanya yang berharap hubungan dua hala yang baik terus dijaga sehingga ulang tahun ke-50 pada tahun depan.  – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Diharap kerajaan Malaysia tidak akan menerima apa2 lagi hadiah daripada China, takut lama kelamaan nanti segala benda dalam negara akan tergadai! Ianya bukanlah pemberian kosong malah punyai pelbagai kehendak yang tersirat?

Comments are closed.