JOHOR BAHRU – Tiga sekeluarga, termasuk sepasang suami isteri, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini, hari ini bagi dua pertuduhan memiliki dan mengedar dadah.
Tertuduh S Avinash Anantha, 33, bersama isteri, K Elengkeswary, 34 dan adik lelaki berkenaan, S Rajiv Anantha, 28.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 12.30 pagi 10 Januari 2023, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama bertempat di sebuah rumah di Taman Sri Pulai Perdana Johor Bahru, Johor didapati mengedar dadah berbahaya Cannabis dengan anggaran berat 23,810 gram.
Mereka didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39B (1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa pada 12.30 pagi pada 10 Januari lalu bertempat di Jalan Pulai Perdana 7/3, Taman Sri Pulai Perdana, Johor Bahru bukan sebagai seorang yang diberi kuasa atau disifatkan sebagai seorang yang diberi kuasa didapati memiliki 171 gram ketamine.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika didapati bersalah tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-dua sekali jika disabit kesalahan.
Kesemua tertuduh mengangguk faham apabila tuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini, namun tiada pengakuan direkodkan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Shakira Muhammad Syafiq Sim manakala tertuduh diwakili peguam bela, Datin Freda Josephine Gonzales.
Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh.
Salini menetapkan 15 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette