Majlis pelancaran Kempen YEG Pesta Sambung Belajar 2023 di Putrajaya baru-baru ini

PUTRAJAYA – Buat julung kalinya, YEG Academy (YEG) menyasarkan seramai 1,000 pelajar dalam bidang Diploma Pengurusan Hotel untuk menjalani latihan industri (praktikal) di hotel lima bintang di Dubai dan Qatar pada tahun ini.

Pengarah Urusan YEG, Hasan Ithnin berkata, sasaran menawarkan 1,000 pelajar untuk menjalani praktikal di Dubai dan Qatar berikutan kebimbangan melihat peningkatan sebanyak 72 peratus para pelajar-lepasan SPM tidak dapat sambung belajar pada tahun lepas.

“Kita juga mahu mengelak masalah graduan menganggur berterusan dan demi memastikan para remaja berminat untuk menyambung pelajaran, YEG Academy menyediakan platform praktikal di Dubai dan Qatar selama 18 bulan.

“Menariknya, pelajar yang menjalani praktikal di sana akan dibayar gaji penuh selain diberikan penginapan dan makanan, visa dan tiket penerbangan secara percuma,” katanya.

Tambah Hasan, program seumpama itu adalah yang pertama di Malaysia.

Pihaknya percaya pengalaman menjalani latihan industri di luar negara memberi kelebihan kepada pelajar untuk mendapatkan pekerjaan sekembalinya mereka ke tanah air.

“Cuba bayangkan nilai pelajar yang memiliki pengalaman kerja di hotel terkemuka di Dubai dan Qatar. Itulah yang kami mahukan.

“Belajar sambil bekerja paling terbaik kerana pelajar didedahkan dengan keadaaan semasa industri. Malah mereka juga dengan mudah ditawarkan pekerjaan,” ujarnya.

Hasan Ithnin

Menurut Hasan, meskipun kesemua program di bawah YEG disesuaikan dengan pasaran pekerjaan namun sijil dan diploma keluaran YEG mengikut piawaian oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Selain diploma perhotelan, YEG menerusi kempen Pesta Sambung Belajar 2023 turut menawarkan Diploma Pengurusan Haji dan Umrah, Diploma dalam Industri Penerbangan dan terbaharu Diploma Penguat Kuasa Undang-Undang Malaysia.

Menerusi Diploma Pengurusan Haji dan Umrah pula, YEG Academy menyasarkan untuk melahirkan seramai 1,000 tenaga muda yang berkemahiran bagi memenuhi kehendak pasaran industri haji dan umrah di Malaysia.

Hasan berkata, sasaran YEG sebagai kolej pertama di Malaysia yang menghantar pelajar menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah melalui Diploma Pengurusan Haji dan Umrah bermatlamat untuk melahirkan graduan dalam pengurusan haji dan umrah, termasuk mutawif dan mutawifah.

“Peranan tenaga muda dan mahir itu melibatkan aspek pengurusan seperti menguruskan operasi di lapangan terbang, maktab penginapan dan sebagainya, selain mutawif dan mutawifah,” jelasnya.

Golongan tenaga mahir itu akan dilahirkan menerusi Diploma Pengurusan Haji dan Umrah di mana tempoh pengajian ialah sepanjang dua tahun enam bulan.

“Mereka akan diajar mengenai pengurusan industri haji dan umrah selain akan menjalani latihan praktikal di Madinah.

“Jadi, ia bukan sekadar mempelajari aspek teori sahaja, tetapi diberi pendedahan untuk mempelajari pengalaman selama tiga hingga empat bulan untuk merasai pengalaman sebagai pemain industri di Madinah,” jelasnya.- MalaysiaGazette