Pemain Negeri Sembilan FC, Namathevan Arunasalam (kiri) diasak keras pemain Petaling Jaya FC, Zainal Abidin Jamil pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – “Saya harap peminat tidak ada yang membandingkan saya dengan Khuzaime Piee,” demikian harapan pertahanan tengah terbaharu Negeri Sembilan FC, Zainal Abidin Jamil.

Menurut pertahanan yang bakal menginjak umur 24 tahun itu, Khuzaimi ialah seorang pertahanan yang ada kualiti tersendiri selain ada kelebihan dari segi pengalaman berbanding dengannya.

Namun Zainal ada azam tersendiri bersama Negeri Sembilan dengan cuba terus melonjakkan kariernya selepas dua musim yang cemerlang di PJ City FC.

“Saya tahu kedatangan saya ke sini bagi mengambil tempat Khuzaimi yang berhijrah ke pasukan lain tetapi saya dengan dia adalah dua pemain yang berbeza.

“Di sini, masih ada ramai pemain yang tidak kurang hebatnya seperti Nasrullah Haniff, Annas Rahmat malah Herold Goulon.

“Jadi fokus saya adalah mahu bersaing dahulu dalam pasukan bagi mendapatkan tempat serta memburu minit permainan kerana saya sedar sebagai pemain baharu, tiada jalan pintas.

“Saya harap keputusan bersama Negeri Sembilan akan membuatkan saya lebih dikenali di persada Liga Malaysia serta membantu pasukan ini mendapatkan keputusan yang cemerlang sepanjang musim 2023,” katanya.

Zainal Abidin memulakan karier remajanya di Felda United pada musim 2020 sebelum bersama skuad Piala Presiden PJ City pada musim berikutnya dan diserap oleh P.Maniam di dalam saingan Liga Super.

Musim 2022 memperlihatkan Zainal meraih kepercayaan diletakkan dalam skuad kebelasan utama dengan melakukan 20 penampilan secara keseluruhan di Liga Malaysia.

Ketiadaan PJ City yang menarik diri untuk saingan musim ini pada mulanya menimbulkan kebimbangan kepada Zainal dalam mendapatkan pasukan baharu bagi meneruskan kesinambungan karier.

Dia langsung tidak menjangka tawaran akhirnya datang dari Negeri Sembilan malah lebih menggembirakan Zainal, kehadirannya turut diiringi beberapa bekas rakan sepasukan seperti Mahalli Jasuli, Aroon Kumar, R.Barathkumar dan Filemon Anyie.

“Terima kasih kepada Negeri Sembilan terutama K.Devan kerana mempercayai potensi saya bagi bersama skuad kendaliannya untuk musim ini.

“Sistem permainan Negeri Sembilan dan PJ City tidak banyak berbeza kerana menggunakan formasi yang meletakkan tiga pemain pertahanan tengah, taktikal yang saya sudah serasi.

“Tambahan dengan ramai pemain dari PJ City musim lalu, saya rasa tidak ada masalah untuk membina persefahaman dengan rakan sepasukan dalam masa yang singkat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast