Suspek dibawa keluar dari kenderaan polis untuk menghadapi pertuduhan membunuh anak kandung berusia setahun enam bulan di sebuah unit kondominium Cyberjaya pada 12 Januari lalu di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto MUHD NA'IM, 20 JANUARI 2023.

SEPANG – Seorang ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berusia setahun enam bulan dengan menekup muka menggunakan bantal hingga lemas di Cyberjaya pada 12 Januari lalu.

Tertuduh, Umishahirah Khalid, 20, yang kelihatan sugul mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Fuad Othman yang menjalankan tugas sebagai Majistret bagi kes tersebut.

Terdahulu, suspek seorang kerani swasta telah dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari dan berpakaian lokap warna ungu pada jam 8.55 pagi diiringi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Mahafiz Mat Lawi.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah di bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut fakta pertuduhan, tertuduh antara jam 5.52 petang 11 Januari 2023 hingga 11.30 pagi 12 Januari 2023 di sebuah unit kondominium Vertex Tower, Cybersquare Cyberjaya telah melakukan pembunuhan dengan niat menyebabkan kematian anak kandung lelakinya berusia setahun enam bulan.

Dengan ini, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang boleh menjatuhkan hukuman mati jika disabitkan kesalahannya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili oleh Johan Radzi yang menggantikan peguam utamanya Farhana Abdul Halim.

Nur Sabrina membuat permohonan kepada mahkamah di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah supaya tertuduh dirujuk ke Hospital Hulu Kinta bagi pemeriksaan dan pemantauan mental.

Beliau juga mencadangkan mahkamah untuk menetapkan satu tarikh bagi sebutan serahan dokumen kes iaitu laporan pakar psikiatri, forensik, kimia dan bedah siasat.

Ahmad Fuad telah menetapkan 20 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Dalam sidang media sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf mengesahkan tangkapan ke atas suspek wanita itu.

Mangsa yang dibawa suspek sendiri ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan susulan dalam keadaan tidak sedar diri, disahkan meninggal dunia pada 15 Januari lalu.

Wan Kamarul berkata, wanita ini dipercayai mengalami tekanan masalah keluarga hingga bertindak menekup anak kecilnya berusia setahun enam bulan sehingga lemas di rumah inap, Cyberjaya dalam kejadian 12 Januari itu.

Laporan bedah siasat pakar forensik Hospital Serdang pada 16 Januari lalu mengesahkan mangsa telah mati akibat kekurangan oksigen.

Pegawai perubatan turut mengesan luka calar dan kesen cekik pada leher badan mangsa.

Bertindak atas laporan pakar perubatan Hospital Cyberjaya polis telah mencekup suspek  yang bersembunyi di rumah suaminya di Puchong pada tengah malam 16 Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast