KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna Disember 2022 reda kepada 3.8 peratus berbanding 4.0 peratus pada November 2022 dengan mata indeks mencatatkan 129.2 berbanding 124.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan perlahan kumpulan makanan &
minuman bukan alkohol kepada 6.8 peratus berbanding pada bulan sebelumnya (7.3%) telah menyumbang kepada peningkatan lebih rendah inflasi negara.

Ini diikuti oleh kumpulan pengangkutan (4.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah (3.7%) yang turut merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

Namun begitu, restoran & hotel terus menunjukkan peningkatan kepada 7.4 peratus berbanding November 2022 (7.0%).

Selain itu, kenaikan inflasi di Malaysia turut didorong oleh kenaikan kumpulan perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (2.4%), pelbagai barangan & perkhidmatan (2.3%) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (1.5%).

Begitu juga pendidikan dan kesihatan masing-masing merekodkan kenaikan sebanyak 1.4 peratus dan 1.3 peratus.

Kedua-dua minuman alkohol & tembakau dan pakaian & kasut mencatatkan kenaikan marginal masing-masing 0.7 peratus dan 0.4 peratus.

Mohd Uzir menjelaskan inflasi bagi keseluruhan tahun 2022 meningkat 3.3 peratus berbanding 2.5 peratus yang dicatatkan pada tahun 2021 didorong terutamanya oleh kumpulan makanan & minuman bukan alkohol (5.8%), restoran & hotel (5.0%) dan
pengangkutan (4.7%).

Konflik antara Russia dan Ukraine serta kenaikan harga komoditi global pada tahun 2022 telah menyumbang kepada kenaikan inflasi.

Sementara itu, inflasi bagi suku tahun keempat 2022 meningkat 3.9 peratus kepada 128.9 berbanding 124.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Bagi perbandingan suku tahunan pula, inflasi mencatatkan peningkatan 0.6 peratusberbanding suku tahun ketiga 2022 manakala inflasi keseluruhan secara bulanan pada Disember 2022 menyederhana kepada 0.2 peratus berbanding 0.3 peratus pada
November 2022.

Ini disumbangkan terutamanya oleh kumpulan restoran & hotel (0.7%) dan makanan & minuman bukan alkohol (0.5%).

“Kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022.

”Peningkatan kumpulan ini terutamanya disebabkan oleh komponen makanan di rumah yang mencatatkan kenaikan yang lebih perlahan kepada 4.9 peratus berbanding 5.8 peratus pada November 2022, manakala makanan di luar rumah meningkat 9.6 peratus berbanding bulan sebelumnya (November 2022: 9.6%).

Komponen Makanan di rumah menyumbang 57.4 peratus daripada wajaran kumpulan makanan & minuman bukan alkohol. Selain itu, kenaikan makanan di luar rumah seiring dengan kenaikan bahan makanan seperti mi, tepung gandum, ayam dan roti. Kesemua item makanan di luar rumah terus merekodkan peningkatan dan antara item yang mencatatkan peningkatan dua digit adalah Pizza (17.3%), Roti canai (14.8%) dan Nasi campur (11.3%).

Namun begitu, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (Krismas) bermula 23 hingga 27 Disember 2022 dan penetapan harga maksimum minyak masak kemasan botol oleh kerajaan telah membantu meredakan inflasi kumpulan ini dari
terus melonjak tinggi.

Kebanyakan subkumpulan dalam makanan & minuman bukan alkohol merekodkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding November 2022. Subkumpulan daging mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 7.8 peratus pada Disember 2022.

Ini diikuti oleh susu, keju & telur (7.1%) dan beras, roti & bijirin lain (7.0%). Gula, jem, madu & manisan dan buah-buahan masing-masing meningkat 4.1 peratus dan 4.0 peratus.

Manakala subkumpulan minyak & lemak menyederhana kepada 1.0 peratus.

Peningkatan subkumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mula mereda kepada 7.8 peratus berbanding 8.2 peratus pada November 2022.

Ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan ini (46.1%) telah meningkat perlahan kepada 5.8 peratus
berbanding 6.4 peratus pada bulan sebelumnya dengan purata harga ayam standard pada bulan Disember 2022 menyederhana kepada RM10.31 sekilogram berbanding RM10.36 pada November 2022 (Disember 2021: RM9.54).

Manakala, purata harga di Semenanjung Malaysia adalah RM9.76 sekilogram, melebihi paras harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM9.40.

Peningkatan subkumpulan ini turut didorong oleh peningkatan daging babi (28.2%) dan itik (11.6%).

Walau bagaimanapun, bulan ke bulan, daging segar menurun kepada negatif 0.4 peratus disumbangkan oleh penurunan ayam yang mencatatkan negatif 0.8 peratus (November 2022: 2.9%).

Peningkatan subkumpulan Susu, keju & telur telah disumbangkan terutamanya oleh telur ayam yang menyederhana kepada 4.1 peratus berbanding 10.5 peratus pada November 2022.

Walau bagaimanapun, susu sejat dan susu pekat manis terus mencatatkan peningkatan dua digit, namun ianya lebih perlahan
kepada 16.7 peratus berbanding 17.7 peratus pada November 2022.

Subkumpulan Beras, roti & bijirin meningkat 7.0 peratus lebih rendah berbandingNovember 2022 (7.5%) disumbangkan terutamanya oleh peningkatan tepung gandum (29.5%) dan mi basah (21.9%).

Produk roti dan bakeri yang meningkat sebanyak 7.9 peratus pada Disember 2022 turut menyumbang kepada kenaikan subkumpulan ini.

Harga siling bulanan baru minyak masak kemasan botol 2 kilogram, 3 kilogram dan 5 kilogram bagi tempoh 8 Disember 2022
hingga 7 Januari 2023 telah menyederhanakan peningkatan inflasi subkumpulan Minyak & lemak kepada 1.0 peratus (November 2022: 1.6%).

Inflasi pengangkutan menunjukkan peningkatan lebih perlahan kepada 4.9 peratus pada Disember 2022 berbanding tahun lalu (November 2022: 5.0%) disebabkan oleh peningkatan purata harga RON97 yang lebih rendah.

Oleh itu, subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian menyederhana kepada 4.3 peratus berbanding 5.1 peratus pada November 2022.

Purata harga RON97 meningkat sebanyak 20.0 peratus (RM3.60 seliter) berbanding RM3.00 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Kenaikan harga minyak ini terutamanya purata harga RON97 dipengaruhi oleh harga minyak mentah Brent (8.9%) kepada $AS80.90 setong pada Disember 2022. – MalaysiaGazette