telur lompat parti
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta menjelaskan kepada rakyat jumlah sebenar telur yang dieksport ke luar negara ketika ini.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, sehingga kini, masih belum kedengaran masalah mengenai bekalan telur eksport.

“Kenapa eksport boleh tetapi bekalan domestik tak selesai?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh semalam bahawa kekurangan bekalan telur ayam masih berlaku di seluruh negara disebabkan baka ayam penelur yang baru dibawa masuk ke negara ini masih belum bertelur.

Wan Saiful turut mempersoalkan bagaimana telur ayam boleh dieksport ke luar negara sekiranya bekalan untuk pasaran tempatan tidak mencukupi.

Menurut beliau, Perangkaan Ternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyatakan, kadar pengeluaran telur negara pada 2021 adalah sebanyak 13,955,240,660 biji.

“Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia berjumlah 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti diberitahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur.

“Maksudnya, kalau pengeluaran 14 bilion biji tapi penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang,” jelasnya.

Sehubungan itu, Wan Saiful meminta kerajaan bersikap telus dalam isu tersebut dan menteri perlu menjelaskan segera perangkaan jumlah pengeluaran telur tempatan dan telur yang dieksport.

Beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan kenapa bekalan telur domestik tidak mencukupi serta tidak menyembunyikan fakta dan cuba melindungi mana-mana pihak.

“Perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan permit import (AP) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) ini?

“Dan apakah dengan jaminan Fuziah bahawa dalam masa dua bulan lagi bekalan telur akan pulih, AP akan dihentikan pada April ini?

“Kerana kita tidak mahu ada pula kroni baharu PH-BN mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat,” katanya.

Pada masa yang sama, Wan Saiful meminta kerajaan menjelaskan mengenai jumlah keseluruhan pengeluaran telur oleh lima syarikat pengeluar terbesar tempatan iaitu QL Resources Berhad, LTKM Berhad, CCK Consolidated Holdings Berhad, Lay Hong Berhad dan Teo Seng Capital Berhad.

Beliau juga mendakwa menteri-menteri Kabinet masih tidak kompeten dalam berkhidmat untuk rakyat termasuk dalam menangani isu bekalan telur dan harga ayam.

“Berhentilah tunjuk tidak kompeten dengan idea seperti tak boleh paksa ayam bertelur dan rakyat jangan makan ayam. Kamu dah jadi kerajaan. Cuba buat kerja betul-betul,” katanya. – MalaysiaGazette