Hajiji Nor

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri Sabah kekal dengan pendirian untuk menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari pantai, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Menyatakan pendirian kerajaan Sabah itu pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching, hari ini, Hajiji, berkata akta itu menghalang keupayaan Sabah untuk mengenakan undang-undangnya sendiri ke atas perkara yang melangkaui tiga batu nautika di laut.

Sambil memberi contoh mengenai perkara itu, beliau berkata ini akan menghalang keupayaan negeri dalam isu berkaitan cukai jualan negeri Sabah terutamanya melibatkan produk petroleum dan kuasa pihak berkuasa Sabah dalam isu imigresen.

“Sabah berpendapat bahawa sempadan lautnya hendaklah melebihi 200 batu nautika mengikut Perintah Borneo Utara (Perubahan Sempadan) dalam Majlis 1954,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pada 23 Sept 2021, Hajiji pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, berkata pendirian kerajaan Sabah ialah hak sempadan negeri hendaklah seperti dinyatakan mengikut Perintah Borneo Utara (Perubahan Sempadan) dalam Majlis 1954 yang meliputi pentas benua.

Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di bangunan DUN Sarawak, hari ini, pengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, Hajiji, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa semua isu tertunggak dalam MA63 telah melepasi proses perbincangan dan kini dalam peringkat pelaksanaan.

“Satu-satunya isu adalah mengenai teknikal dan kami berharap dapat bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan semua tuntutan kami diselesaikan sepenuhnya.

“Kerajaan Sabah mempunyai keyakinan dan kepercayaan penuh terhadap kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan tuntutan MA63 secara baik tidak lama lagi.

“”Ini adalah faedah bersama kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan dalam usaha membawa kemajuan dan kemakmuran di seluruh negara untuk rakyat,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan Sabah juga mengalu-alukan pengiktirafan Perdana Mdenteri bahawa Malaysia terdiri daripada tiga entiti iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Tanah Melayu seperti dinyatakan dalam MA63.- BERNAMA