Suspek yang meragut beg silang milik seorang penghantar makanan gagal selepas ditangkap orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian di Bandar Mahkota Cheras, baru-baru ini.

KAJANG – Cubaan individu lelaki yang meragut beg silang milik seorang penghantar makanan gagal selepas ditangkap orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian di Bandar Mahkota Cheras, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mangsa berusia 35 tahun telah diragut.

“Hasil bantuan orang ramai, suspek berusia 22 tahun telah berjaya ditangkap dalam jarak lebih kurang 10 meter dari tempat kejadian mangsa diragut.

“Bagaimanapun, video tangkapan berdurasi 20 saat tersebut telah tular di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pengguna di akaun TikTok,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Mohd Zaid, semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes jenayah dan lima rekod dadah dan hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek disahkan positif dadah jenis Methamphetamine.

Tambah Mohd Zaid, pihak polis berjaya merampas semula kesemua barang yang diragut suspek daripada mangsa iaitu wang tunai, jam tangan, telefon bimbit serta kad-kad dokumen peribadi.

“Selain itu, turut dirampas ialah beberapa perlatan seperti spanar, playar, kunci khas bentuk L, pemutar skru, pisau lipat dan sebuah motosikal jenis Honda yang digunakan suspek semasa kejadian,” katanya.

Mohd Zaid berkata, permohonan reman telah dimohon di Majistret Kajang dan suspek telah dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari bermula 19 Januari sehingga 25 Januari 2023 bagi membantu siasatan lanjut termasuk kes ragut lain yang berlaku di daerah itu.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (kesalahan merompak tanpa senjata) yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan,” ujarnya. – MalaysiaGazette