KUALA LUMPUR – Seorang maut sementara tiga yang lain cedera apabila sebuah Proton Exora terbabas di kilometer 18, Jalan Lipis – Benta (kawasan OP Selamat), awal pagi tadi.
Dalam kemalangan jam 5 pagi itu, penumpang Normawati Mamat, 52, meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan pada bahagian dalaman badan.
Pemandu kenderaan pelbagai guna, Mohd Asyraf Wahab, 25, bersama bapa saudaranya Shamsul Bahri Mohd Yunus, 55, dan penumpang belakang, Bariah Mohd Yunus cedera.
Sementara itu, seorang kanak-kanak Nurul Amirah Najamuddin, 7, yang duduk di bahagian belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati pemandu bersama empat orang penumpang itu datang dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kelantan untuk hadir menziarahi majlis pengebumian bapa saudaranya di Tanah Merah.
“Sampai di tempat kejadian, pemandu ini dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kiri bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu, seorang mangsa penumpang belakang telah tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Azhar, hasil siasatan mendapati punca kemalangan adalah disebabkan oleh kecuaian pemandu sendiri yang gagal mengawal kenderaan menyebabkan MPV itu hilang kawalan dan terbabas.
Tambahnya, lokasi kemalangan adalah di kawasan jalan selekoh, keadaan jalan berturap serta basah dan terdapat bahu jalan.
“Sistem jalan satu lorong dua hala mempunyai garisan tengah berkembar. Keadaan lokasi adalah gelap tanpa lampu jalan dan cuaca hujan renyai,” jelasnya.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette