Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu (M) Berhad memberhentikan perkhidmatan KTM Komuter dari KL Sentral ke Subang Skypark bermula 15 Februari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemberhentian perkhidmatan tren itu adalah untuk tempoh sementara waktu.

Katanya, perkhidmatan tren KTM Komuter dari KL Sentral ke Subang Skypark telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dengan menggunakan peruntukan subsidi khas RM15 juta dari kerajaan dengan menawarkan tambang perjalanan murah.

“Bagaimanapun kami mendapati sambutan kurang menggalakkan untuk perkhidmatan itu yang mana kerajaan membelanjakan peruntukan RM15 juta setahun untuk memastikan perkhidmatan tren ke Skypark dengan menawarkan 32 perjalanan setiap hari dari KL Sentral.

“Tetapi hasil kajian kami selama ini dan pengumpulan data juga menunjukkan purata satu hari hanya mendapat 80 penumpang yang menggunakan perkhidmatan tren itu dan ia terpaksa diteruskan tidak kira sama ada ada atau tidak penumpang naik tren itu.

“Maka setelah berbincang dalam mesyuarat pasca Kabinet baru-baru ini, kita telah membuat keputusan untuk memberhentikan sementara perkhidmatan tren komuter antara KL Sentral ke Skypark Subang bermula 15 Februari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui KL Sentral selepas memberikan edaran pek cenderahati kepada penumpang KTMB bersempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023 di sini hari ini.

Ujar Anthony, sekiranya terdapat permintaan tinggi pada masa akan datang pihaknya akan mempertimbangkan semula untuk meneruskan khidmat komuter di antara KL Sentral dan Skypark Subang kelak.

Tambah beliau, hasil daripada pemberhentian perkhidmatan itu, kerajaan dapat menjimatkan RM15 juta dan boleh digunakan untuk kegunaan lain dalam pengangkutan.

Malah, katanya, kementeriannya turut mengambil maklum mengenai kekurangan tren komuter di sebelah utara dan Lembah Klang ketika ini akibat pertambahan penumpang disamping permintaan agak tinggi.

Maka jelasnya, empat set tren komuter antara KL Sentral dan Subang Skypark yang diberhentikan operasinya bermula 15 Februari nanti akan dihantar untuk kegunaan KTM Komuter di Utara dan juga di Lembah Klang.

“KTM di Utara akan ditambah dua set tren manakala dua lagi set akan digerakkan ke Lembah Klang bermakna akan ada pertambahan trip disebabkan lebihan tren di kedua-dua kawasan itu yang sekaligus akan menampung kapasti penumpang yang meningkat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast