Saifuddin turut mempengerusikan Mesyuarat Jawatankausa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU- Kerajaan akan membincangkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu pertemuan di Nepal, Bangladesh dan Indonesia dalam masa terdekat.

Ia dijadualkan berlangsung pada hujung bulan ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, pelan itu melibatkan lima sektor kritikal antaranya perkilangan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.

“Saya diminta oleh Jemaah Menteri untuk saya berada di Nepal, Bangladesh dan Indonesia. Lawatan kerja empat hari ke tiga negara itu akan saya lakukan pada hujung bulan ini.

“Dalam siri lawatan itu nanti saya akan sampaikan sendiri kepada rakan sejawat saya tentang perubahan polisi yang kita mulakan bertujuan untuk mempermudahkan proses majikan berkehendak kepada tenaga kerja bagi memenuhi keperluan ekonomi tadi.

“Sudah pasti kita harap dalam pertemuan itu nanti negara berkenaan terutama tiga negara sumber tadi Nepal, Bangladesh dan Indonesia akan dapat berikan kerjasama yang sewajarnya ke arah menjayakan perubahan anjakan polisi yang kita umumkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Menangani Kesesakan di Tambak Johor di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini hari ini.

Kelmarin, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar memaklumkan sejumlah 500,000 pekerja asing akan dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan kementerian bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing.

Sivakumar juga dilaporkan berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).- MalaysiaGazette