SEPANG — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook akui isu kelewatan penerbangan menjadi rungutan pengguna dan orang ramai.

Lantaran itu,  beliau telah meminta syarikat penerbangan supaya memberi tumpuan terhadap isu jadual pengoperasian penerbangan berkenaan.

“Memang saya tahu  isu delay itu menjadi rungutan orang ramai, ia disebabkan pelbagai faktor termasuk faktor teknikal, faktor cuaca dan sebagainya.

“Saya telah pun meminta supaya syarikat-syarikat penerbangan memberi fokus kepada isu-isu operasi ini supaya kita dapat mengatasi, merendahkan atau mengurangkan kelewatan penerbangan,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Terdahulu, Loke meraikan penumpang AirAsia yang berpeluang menikmati penerbangan tambahan istimewa pada kadar tambang rendah sempena Tahun Baharu Cina, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan sumbangan kepada para penumpang semasa hadir pada Majlis Pelepasan Pesawat Tambahan Khas AirAsia sempena Tahun Baru Cina di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2). Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2023.

Beliau ditemani Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Penerbangan yang mencatatkan muatan 100 peratus itu membawa 180 penumpang ke Kuching, Sarawak pada 12.10 malam tadi serta merupakan penerbangan tambahan  kedua selepas penerbangan pertama menghala ke Kota Kinabalu, Sabah dari KLIA.

Mengulas mengenai penerbangan tambahan dengan kadar tambang rendah, katanya, ia merupakan intervensi kerajaan dan kerjasama syarikat penerbangan sempena musim perayaan yang sering menyaksikan kenaikan harga tiket.

“Ini adalah penerbangan tambahan yang disokong oleh syarikat penerbangan dengan menawarkan kadar tambang yang berpatutan, umpamanya ini (AirAsia) yang berharga RM199 untuk semua penumpang.

“Ia merupakan inisiatif pihak kerajaan bersama dengan syarikat penerbangan untuk memberikan tambang yang lebih berpatutan, kerana kita tahu setiap kali menjelang musim perayaan isu tiket kapal terbang terutamanya ke Sabah dan Sarawak dari semenanjung menjadi satu isu kerana selalunya kadar (tambang) yang agak tinggi,” katanya.

Jelas beliau, kadar tambang rendah itu dapat dinikmati pada tiga hari sebelum dan selepas tarikh perayaan.

Tambah Loke, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan mengenai pendekatan yang digunapakai pada perayaan Tahun Baharu Cina ini dikekalkan menjelang musim perayaan lain.

“Bukan hanya untuk musim Tahun Baharu Cina, tetapi selepas ini Hari Raya Aidilfitri juga menggunakan pendekatan sama supaya kita nak memastikan rakyat Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung dapat pulang ke kampung mereka untuk meraikan musim perayaan dengan kadar tambang yang lebih berpatutan,” ujarnya.

Menurutnya, langkah berkenaan juga dibuat bagi menggalakkan lebih ramai warga Semenanjung berkunjung Malaysia Timur. -MalaysiaGazette