KUALA LUMPUR – Bekalan ayam dan telur kembali normal dan cukup untuk keperluan pasaran tempatan bermula bulan ini.
Jaminan berkenaan disuarakan oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam pertemuan yang diadakan pada Khamis lalu.
“FLFAM turut menzahirkan penghargaan mereka kepada Kerajaan atas usaha dan sokongan dalam mencari penyelesaian yang seimbang tentang masalah yang dihadapi oleh pengguna dan industri di Malaysia berikutan pelbagai cabaran yang wujud dalam proses rantaian bekalan makanan di seluruh dunia,” kata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).
Jelas MAFS, dalam pertemuan berkenaan FLFAM membangkitkan beberapa isu termasuklah harga kawalan dalam tempoh panjang yang menyebabkan penternak mengalami kerugian akibat peningkatan kos pengeluaran.
Tambah kementerian tersebut, turut dibincangkan berkaitan keperluan meningkatkan produktiviti melalui penternakan secara sistem tertutup, isu aliran tunai dalam kalangan penternak dan jangkaan bekalan ayam dan telur serta kos pengeluaran.
“Pertemuan ini bertujuan bagi membincangkan Memorandum FLFAM berkaitan isu-isu yang menjejaskan kemampanan dan daya saing industri unggas khususnya ayam daging dan telur,” tambah kementerian itu.
Jelas MAFS, pihaknya akan meneruskan usaha konsisten dengan mengadakan libat urus bersama pemain industri bagi memastikan industri ayam dan telur terus mampan untuk menjamin bekalan makanan kepada rakyat.
Terdahulu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati rata-rata pengguna mengeluh kerana bekalan telur dan ayam di pasaran masih terhad. – MalaysiaGazette