Nancy Shukri. Foto AFFAN FAUZI, 28 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berharap lebih banyak kemudahan awam yang boleh ditawarkan secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) ketika ini sangat dialu-alukan dan perlu diteruskan.

“Terima kasih @anthonyloke @MOTMalaysia ! Saya harap inisiatif ini diteruskan untuk pengangkutan awam yang lain khasnya buat OKU di Malaysia! #MalaysiaMadani,” ciapnya di Twitternya, hari ini.

Bermula 15 Februari ini, murid berpakaian seragam sekolah berusia hingga 12 tahun dan OKU akan menikmati perkhidmatan percuma tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, inisiatif itu dapat dilaksanakan melalui penjimatan RM15 juta setahun susulan penangguhan perkhidmatan KTM komuter dari Subang Skypark ke KL Sentral berkuat kuasa pada tarikh sama.

Beliau berkata, tawaran percuma itu bagi perkhidmatan tren komuter sektor utara dan Lembah Klang serta perkhidmatan antara bandar bagi laluan Gemas-Tumpat.

Menurut Loke ini turut memanfaatkan 150 murid yang menggunakan perkhidmatan tren antara Dabong ke Kuala Geris di Kelantan setiap hari dengan kadar bayaran RM1 setiap perjalanan. – MalaysiaGazette