KUALA LUMPUR – UMNO dilihat berada pada tahap paling lemah dan diramal terus merudum di bawah pentadbiran Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Dr. Kartini Aboo Talib menyifatkan perkara itu berlaku berikutan beberapa pihak akar umbi parti itu membuat laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) semalam.

Malah menurut beliau, dengan adanya laporan tersebut, ia jelas membuktikan terdapat ahli akar umbi dan beberapa pemimpin parti yang sedang berusaha untuk mengembalikan roh perjuangan UMNO ke jalan yang tepat sebagai parti Melayu yang wujud demi mempertahankan bangsa dan agama.

“Kalau mereka hanya senyap dan menafikan barah yang menimpa UMNO, mereka tiada bezanya dengan Datuk Seri Ahmad Zahid dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini dikenali sebagai oportunis demi survival parti tanpa mengira prinsip utama UMNO.

“Perjuangan mahu membersihkan UMNO menuntut pengorbanan besar atas nama perjuangan demi agama dan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kartini mengulas mengenai langkah dua ahli UMNO yang bertindak membuat laporan kepada RoS bagi meminta satu siasatan kemungkinan berlakunya pelanggaran perlembagaan parti berhubung usul tiada pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti, semalam.

Laporan itu dibuat ahli UMNO Terengganu, Muhammad Aizat Fikri Mohd. Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom.

Kedua-dua mereka membuat notis bantahan tersebut selepas beranggapan usul tambahan berkaitan dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan tidak sah dan bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Pada 13 Januari lalu, perwakilan Negeri Sembilan, Mohd Shukri Samsudin, mengemukakan usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2022) bagi membolehkan jawatan presiden dan timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Mula lah pakar teori bg macam2 analisa dgn hanya satu dua input yg dilihat dgn mata kasar. Analisa separuh masuk akn hasilkan dapatan separuh masak jugak

Comments are closed.