KUALA LUMPUR – Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) digerakkan bersama Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sepanjang Op Selamat 19.

Pengarahnya Datuk Seri Mat Kassim Karim berkata, pasukan berkenaan ditempatkan di Utara, Timur dan Selatan bagi membantu JSPT memantau keadaan lalulintas di lokasi-lokasi hotspot.

“Ia memudahkan segala input disampai dengan pantas kepada petugas JSPT di lapangan agar segala tindakan diambil dengan segera,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, dijangkakan sebanyak dua juta kenderaan berada di Lebuhraya Utara Selatan bermula hari ini sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Selain itu tambahnya, diramal sebanyak 170,000 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dan 60,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur 1.

Sehubungan itu, Mat Kassim menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas akan memastikan tiada tragedi berlaku di musim perayaan ini.

“PDRM menyarankan pengguna jalan raya yang penat dan perlu berehat, berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya termasuklah bagi menunaikan solat atau ke tandas,” ujar beliau. – MalaysiaGazette