Antara warga asing yang tidak melepaskan peluang menikmati cuti umum sempena Tahun Baharu Cina ketika tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. - Gambar arkib

KUALA LUMPUR – Kemeriahan cuti umum sempena Tahun Baharu Cina bukan hanya dinikmati masyarakat Cina serta bangsa lain di negara ini, malah ia turut diraikan warga asing.

Tinjauan MalaysiaGazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini mendapati, kebanyakan daripada mereka memanfaatkan cuti umum ini untuk bertemu kenalan di pelbagai destinasi.

“Saya dapat cuti beberapa hari, jadi mahu ambil peluang jumpa rakan saya yang juga dari Bangladesh. Dia kerja di Butterworth, sudah lama tidak bertemu,” kata Samer Hasim yang fasih berbahasa Melayu ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Samer yang bekerja dalam perkhidmatan pembersihan di ibu kota lebih dua tahun berkata, amalan ziarah-menziarahi juga menjadi sebahagian budaya di negara mereka.

Katanya, dia tidak asing untuk menggunakan kemudahan di TBS kerana ia bukan kali pertama, malah memuji kecekapan TBS sebagai hab pengangkutan awam.

Pasangan dari Jerman yang hanya ingin dikenali sebagai Chris Simon dan Axendra berkata, mereka adalah pengembara yang menggunakan TBS untuk ke Alor Setar.

Jelas pasangan yang baru tiba di Kuala Lumpur tiga minggu lalu itu, hasratnya ke negeri jelapang padi tersebut adalah untuk menikmati keindahan Pulau Langkawi.

“Sebelum ini rakan saya telah sampai ke Malaysia. Dia beritahu jangan lupa melawat Pulau Langkawi kerana itu antara tarikan menarik di negara ini. Jadi saya tak sabar mahu naik feri dan rasai keindahan di sana, saya sudah urus segalanya melalui dalam talian,” ujarnya.

Addena Batrisyia Kheir

Sementara itu, seorang pekerja swasta yang berasal dari Kerteh, Terengganu, Addena Batrisyia Kheir turut berkongsi pengalaman membeli tiket pada saat akhir.

“Pada awalnya saya tak rancang untuk balik ke Kerteh sebab cuti tidak terlalu panjang dan bulan depan akan pulang sekali lagi. Namun, ada urusan mustahak di kampung jadi saya bergegas ke TBS. Mujur, masih ada lagi tiket walaupun bakinya tidak banyak,” ujarnya.

Sebelum ini, Pengarah Urusan TBS, Datuk Roslan Shariff memberitahu, sebanyak 268,400 tiket bas disediakan selama 11 hari bermula 19 Januari. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast