Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong pada Majlis Tahun Baru Cina 2023 Parti MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui wujud ketidaksefahaman politik di antara MCA dan Pakatan Harapan (PH) satu ketika dahulu, namun segalanya kini berubah demi pembangunan negara.

Beliau berkata, MCA mampu menjadi sebuah parti yang dapat membantu kerajaan untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut beliau, meskipun sebelum ini terdapat perbezaan dalam pandangan namun, kini terdapat ruang bukan sahaja kemesraan sebaliknya, ada haluan dalam banyak pandangan.

“Saya banyak berbincang dengan Presiden MCA Wee Ka Siong dan kita tumpu kepada pembangunan dan ekonomi Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka sempena Sambutan Tahun Baru Cina di Wisma MCA, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Majlis turut dihadiri Menteri Kabinet, perwakilan asing dan pemimpin BN.

Terdahulu, Anwar dan Wan Azizah tiba di majlis tersebut pukul 9.30 pagi dengan diiringi, Ka Siong dan Ahmad Zahid.

Ini merupakan kali pertama Anwar menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA selepas 25 tahun beliau tidak memijak kaki di bangunan tersebut.

Kali terakhir Perdana Menteri menghadiri majlis berkenaan adalah ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebelum dipecat daripada jawatan itu pada 1998. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast