KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua pihak menghentikan fahaman dan budaya ‘nak kaya masuk politik’.
Perdana Menteri itu berkata, anggapan itu perlu dibuang jauh kerana salah satu sumber kekayaan adalah daripada bidang perniagaan.
“Kalau nak kaya jadi ahli perniagaan, kalau nak jadi menteri dan cari wang, kena keluar (letak jawatan).
”Saya beri beberapa peraturan (kepada Jemaah Menteri) kalau nak kuat (stabilkan kerajaan) dan dapat sokongan rakyat, pemimpin kena tolak rasuah.
“Sebab kalau orang masuk politik dan nak jadi kaya, negara akan rosak,” katanya katanya dalam ucapan ketika menghadiri Sambutan Tahun Baru Cina unjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Beliau ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Sains dan Teknologi, Chang Lih Kang dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dominic Lau.
Tegas Anwar, prinsip ini jelas kerana tidak ada salah mahu jadi ahli perniagaan.
Malah, kerajaan sentiasa memberi galakan n untuk orang berniaga dapat untung banyak, cuma mereka akan dikenakan cukai sikit.
“Kalau semua susah, macam mana nak bayar cukai,” ujar beliau.
Oleh yang demikian, Anwar menegaskan, Kerajaan Perpaduan menganjurkan prinsip Malaysia Madani yang merencanakan landasan tatakelola yang baik.
“Kalau pimpin dengan cara lama semua orang kaya (sebab politik), negara akan rosak. Saya ucapkan terima kasih sebab pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), GPS dan GRS.
“Dalam prinsip ini, saya tengok konsisten dalam mesyuarat, mereka berikan komitmen. saya bernasib baik rakan Jemaah Menteri dan parti beri kerjasama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette