Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bersalaman dengan sebahagian tetamu yang hadir pada Majlis Tahun Baru Cina 2023 Parti MCA di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya bahawa pemberian wang tunai oleh parti itu ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai sedekah.

Ketika ditemui media pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di ibu negara hari ini, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyifatkan kenyataan Abdul Hadi itu sebagai hipokrit.

“Kalau dia buat (dipanggil) sedekah, kalau kita (buat) dipanggil rasuah,” katanya.

Ahmad Zahid turut menggambarkan Abdul Hadi sebagai seorang “ulama politik” dan menggesanya agar tidak mengubah hukum sesuatu perkara.

“Ulama ini jangalah tukar-tukar hukumlah. Akhirnya ulama politik tak akan dihormati oleh rakyat dan orang Islam,” katanya.

Hadir Sama pada Majlis Rumah Terbuka itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Semalam Abdul Hadi berkata, pemberian wang kepada rakyat adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang hanya menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di tiga kerusi Parlimen.

Selain Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas turut dicabar adalah Parlimen Marang iaitu kawasan yang dimenangi Abdul Hadi. – MalaysiaGazette