pemimpin UMNO
Shamsul Anuar Nasarah. - Foto AFFAN FAUZI, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas  Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi sebagai sedekah membuktikan pemberian wang berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, tindakan Abdul Hadi mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi memaparkan sikap Pas.

Budaya pemimpin Pas menurut beliau, akan mengeluarkan dalil bersifat agama bagi mempertahankan segala tindakan yang dilakukan.

“Kemudian mereka cuba menghalalkan apa sahaja perbuatan mereka yang ternyata salah dari segi peraturan .

“Lebih membahayakan mereka mengaitkannya dengan agama supaya dilihat suci bersih.

“Inilah budaya dan sikap Pas sejak dulu. Pihak lain semuanya salah dan sebaliknya tidak salah kalau mereka yang lakukan,” kata Shamsul Anuar.

Tambah Timbalan Menteri Dalam Negeri itu, prinsip Pas yang wujud ketika ini tidak lagi sama ketika mula-mula ditubuhkan dahulu.

Parti berkenaan kini kelihatan amat mementingkan kuasa dan pangkat.

“Realitinya kini Pas sudah banyak berubah. Kuasa dan kedudukan sudah menjadi sangat penting bagi Pas dan kerana itu prinsip, pendirian serta peganggan Pas akan berubah kerana itu.

“Pas sanggup lakukan apa sahaja demi kuasa dan kedudukan. Ini hakikatnya,” kata Ahli Parlimen Lenggong itu.

Semalam Abdul Hadi berkata, pemberian wang kepada rakyat adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang hanya menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang), tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di tiga kerusi Parlimen.

Selain Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas turut dicabar adalah Parlimen Marang iaitu kawasan yang dimenangi Abdul Hadi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, dilaporkan berkata petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari lalu.

Beliau mendakwa Pas merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen berkenaan sepanjang tempoh kempen PRU15.-MalaysiaGazette