Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Lima termasuk dua kanak-kanak maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kereta di Batu 13, Kahang, Jalan Kluang-Mersing, Kluang, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira 4.40 petang yang melibatkan Perodua Myvi dan Honda Stream.

Beliau berkata, lima mangsa yang maut menaiki kereta Perodua Myvi yang sedang menghala ke Kahang manakala kereta Honda Stream dalam perjalanan ke Kluang dan hujan renyai ketika insiden.

“Ketika bomba sampai, hampir kesemua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam. Pihak kami mengeluarkan seorang mangsa daripada dalam Honda Stream,” kata Mohd Fauzi dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kluang untuk rawatan selanjutnya manakala yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA