KUALA LUMPUR – Seorang wanita tidak dapat mengawal emosi selepas ditahan polis apabila didapati nombor pendaftaran motosikal yang ditunggangnya adalah milik sebuah van.
Wanita itu ditahan di Jalan Bangsar dalam Op Selamat 19 yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, di salah satu daripada tiga sekatan jalan raya di ibu kota, awal pagi tadi.
Bapa saudara wanita berusia 20-an itu yang tiba di lokasi memberitahu, kesalahan tersebut mungkin berpunca akibat kesilapan kedai aksesori ketika memasang nombor pendaftaran di motosikal berkenaan.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati cukai jalan motosikal milik datuknya itu telah tamat tempoh sejak 2019 dan ia termasuk dalam 18 kenderaan yang disita.
“Jadi, sebanyak 1,889 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dilakukan secara serentak bermula jam 10 malam hingga 4 pagi tadi termasuk di Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang.
“Ada juga tiga tangkapan dalam operasi pagi ini iaitu kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, nombor pendaftaran kenderaan palsu, individu dikehendaki berkait kes dadah dan kita turut menemukan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang,” katanya pada sidang media di sini awal pagi tadi.
Setakat semalam, Sarifudin berkata, seramai 28 individu ditahan sepanjang operasi di ibu kota sejak Rabu lalu membabitkan pelbagai kesalahan dengan 19 daripadanya didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.
Ia turut membabitkan 7,998 saman atas pelbagai kesalahan dan sebanyak 809 kemalangan direkodkan membabitkan dua kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban. – MalaysiaGazette