Pasukan mencari dan menyelamat meninjau lokasi tempat lelaki berbangsa India yang dipercayai terjatuh ke dalam laut, pagi tadi. Foto Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di Jeti Awam Tanjung Sepat, semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Siva V. Kumar berkata, Operasi Carilamat yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pukul 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.

Operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan komuniti nelayan setempat, katanya.

Menurutnya lagi, Maritim Selangor turut menghantar bantuan darat untuk pemantauan sekitar lokasi kejadian di pesisir Pantai Tanjung Sepat.

Terdahulu, operasi CARILAMAT telah diaktifkan semalam dengan mengatur gerak bot PERKASA 36 selepas menerima maklumat kejadian tersebut.

Sepasang selipar dan kain sarung dipercayai milik lelaki yang hilang.

Dalam pada itu Kumar berkata, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga ditubuhkan di Jeti Maritim Awam Tanjung Sepat.

Mangsa S Muniandy, 63, warga tempatan dipercayai telah jatuh laut apabila motorsikal, pakaian (kain sarung) serta selipar milik mangsa ditemukan di hujung jeti oleh anak mangsa pada jam sekitar 11 pagi.

Kali terakhir mangsa dilihat memakai baju kemeja biru muda dan berseluar pendek warna coklat sebelum dilaporkan hilang.

Sehubungan itu, agensi berkenaan menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, aduan serta situasi kecemasan di laut dim inta supaya menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – MalaysiaGazette