Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pendaftar Pertubuhan (RoS) adalah tempat rujukan terakhir untuk ahli UMNO mengesahkan keputusan yang dicapai pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, setiap ahli mempunyai locus standi iaitu kepentingan dalam parti apabila timbul masalah berkait dengan pendaftaran, kesahihan, mesyuarat dan sebagainya.

“Setiap ahli berhak atau siapa-siapa rasa nak pergi ke RoS, tidak ada sesiapa boleh menghalang mereka. Terserah kepada ROS untuk buat keputusan.

“Seperti saya kata, setiap ahli dalam UMNO berhak apabila mereka mempunyai locus standi kerana mempunyai kepentingan kepada UMNO apabila timbul masalah berkait dengan pendaftaran, kesahihan, mesyuarat dan sebagainya. Maka rujukan terakhir mereka adalah RoS,” katanya.

Ismail Sabri ditemui pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA hari ini.

Beliau hadir selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beredar dari majlis sama.

Beliau ditanya media mengenai tindakan dua ahli UMNO yang mendesak RoS meneliti laporan persidangan PAU 2022 mengandungi usul tambahan berkaitan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertanding pada pemilihan akan datang.

Kelmarin,ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom membuat aduan kepada ROS berhubung perkara tersebut.

Mereka mendakwa, usul berkenaan adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan UMNO serta peraturan persidangan bahagian dan cawangan.

Dalam perkembangan berasingan, Ismail Sabri menegaskan, situasi dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika ini kekal tenang.

Malah katanya, situasi dalam UMNO sekarang lebih baik dan jauh lebih tenang sekali gus menyangkal dakwaan berlaku keadaan berpuak-puak dalam parti itu.

“Lebih tenang. Sudah tentu kita tenang sekarang. Memang kita pun tenang sekarang. Tak ada masalah. Ada masalah tak dengan BN (Barisan Nasional)?” ujarnya. – MalaysiaGazette