Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menggesa pemerintah Sweden agar mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif ahli politik pelampau yang membakar al-Quran di ibu negara itu pada Sabtu.

Beliau berkata perbuatan biadap ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan perlu dibantah kerana telah menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara dengan membakar kitab suci agama Islam itu.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Paludan telah membuktikan kesungguhan Malaysia untuk menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Semalam, Anwar bukan sahaja mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu malah menggesa kerajaan Sweden supaya mengambil tindakan segera ke atas pelaku perbuatan keji itu selain memastikan langkah drastik di masa depan untuk menangani peningkatan Islamofobia yang membimbangkan di negara tersebut.

Paludan, pemimpin parti pelampau kanan Denmark ‘Stram Kurs’, diberikan kebenaran membakar al-Quran pada Sabtu di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm yang membangkitkan kemarahan penganut Islam di seluruh dunia.- BERNAMA