Bekas ADUN Meru meninggal dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Dr Abd Rani Osman telah meninggal dunia pada usia 65 tahun hari ini.

Berita mendukacitakan itu telah dikongsikan dalam laman media sosial Facebook rasmi Pas Selangor pagi tadi.

Allahyarham yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 5 pagi tadi di Hospital Banting, Selangor.

Ketua Dewan Ulamak Pas Selangor, Nushi Mahfodz menerusi kenyataan di Facebook Pas Selangor, telah merakamkan takziah atas pemergian Allahyarham.

“Dewan Ulamak Pas Negeri Selangor mengucapkan takziah atas pemergian Dr. Abd Rani Osman yang merupakan Mantan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor dan ADUN Meru.

“Pemergian beliau amat dirasai oleh kita semua kerana jasa dan pengorbanan beliau kepada rakyat di negeri Selangor sepanjang perkhidmatannya.

“Semoga keluarga beliau bersabar dan tabah menghadapi kehilangan ini dan didoakan rohnya bersama para pejuang dan solihin di Akhirat kelak,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Turut menzahirkan takziah dan merapati pemergian Allahyarham adalah Dewan Ulamak Pemuda Pas Selangor.

Untuk rekod, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ADUN Meru mulai 2008 hingga 2018 sementara Pesuruhjaya Pas disandang beliau pada 2011 hingga 2013.

Sebelum berkecimpung dalam bidang politik, arwah merupakan seorang doktor perubatan dan mempunyai sebuah klinik swasta di Pekan Meru.- MalaysiaGazette