Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Gara-gara tidak berpuas hati kerana disindir dalam satu program rancangan realiti televisyen, dua wanita bergaduh dan menarik rambut masing-masing di sebuah restoran di sini hari ini.

Kedua-dua wanita itu merupakan isteri tua dan muda kepada seorang bekas pemain bola sepak terkenal.

Pergaduhan kedua-dua wanita itu mengejutkan para pelanggan lain di restoran berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada isteri kedua kepada bekas jurulatih Liga Super itu kira-kira pukul 2.18 pagi hari ini.

Mohd Iqbal
Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim

“Siasatan awal polis mendapati isteri pertama berasa dirinya tersindir dan terguris hati dengan kenyataan yang dikeluarkan isteri kedua menerusi satu rancangan realiti televisyen Family Dou.

“Isteri pertama bekas jurulatih tersebut turut memarahi wanita (isteri kedua suami) tersebut dan mendakwa wanita itu telah berkahwin dengan suaminya tanpa pengetahuannya,” katanya menerusi kenyataan  malam ini.

Tambah Mohd Iqbal, rentetan rasa tidak puas hati tercetus pergaduhan antara kedua-dua mereka di restoran tersebut sebelum mereka saling menarik rambut.

“Pertengkaran di dalam restoran tersebut kemudiannya membawa sehingga ke bahagian luar restoran tersebut seolah-olah tiada penyelesaian.

“Setakat ini, tiga individu iaitu kedua-dua wanita itu dan juga suami mereka telah dipanggil untuk dirakam keterangan berhubung kejadian itu,” ujarnya.

Tegas beliau, polis meneruskan siastan ke atas mereka bersabit insiden itu di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes Insp Suhada 012-6942736 yang mengendalikan siasatan tersebut.- MalaysiaGazette