Mohd Puad Zarkashi Najib dibebaskan pas kingmaker Muhyiddin wang RCI Tommy Puad Nazlan DAP takut sanusi the untold story Anwar UMNO
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berharap penubuhan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas tidak ditangguhkan.

Menurut beliau, walaupun Kabinet telah bersetuju untuk menubuhkan RCI berkenaan pada 11 Januari lalu, isu tersebut sudah lama dibangkitkan malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu telah mendesak penubuhannya sejak 2021.

Sehubungan itu, Mohd. Puad turut berharap agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkongsi status terkini mengenai RCI berkenaan.

“Semoga tiada penangguhan. Ramai jadi mangsa. Tahan pasport tersangka. Konco-konconya masih dalam sistem.

“Datuk Seri Najib Razak masih dinafikan hak perbicaraan adil,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Pada 11 Januari lalu, Azalina mengumumkan, Kabinet bersetuju menubuhkan RCI bagi meneliti secara menyeluruh Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan ke atas Dakwaan Dalam Buku Bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Beliau memberitahu, penubuhan itu selaras Akta Suruhanjaya Siasatan 1950, mengikut bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan tujuan mencari kebenaran serta mengemuka syor kepada kerajaan bagi reformasi institusi perundangan, dan bukannya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak.

Dalam laporan yang telah dinyah sulit, Pasukan Petugas Khas berkenaan mengesyorkan agar Tommy disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Pasukan tersebut turut mencadangkan Jabatan Audit Negara serta agensi lain menjalankan audit serta siasatan lain mengenai kemungkinan salah laku Tommy semasa menjadi Peguam Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast