KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu mempersoalkan niat ‘sedekah’ Perikatan Nasional (PN) kepada pengundi semasa dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, ini kerana ‘sedekah’ yang diberikan itu adalah di luar musim banjir dan semasa persediaan ibu bapa untuk sesi persekolahan baharu.
Jelasnya, tempoh sebenar rakyat memerlukan bantuan ‘sedekah’ adalah sebelum sesi pembukaan sekolah pada dan Mac 2023 dan bukannya pada November 2022 sewaktu kempen PRU15.
“Waktu bantuan ‘sedekah’ juga diperlukan selepas banjir melanda Terengganu yang hanya berlaku pada pertengahan bulan Disember dan bukan lebih awal pada awal November apabila ‘sedekah’ diberi secara meluas pada pengundi.
“Kalau pun ‘sedekah’ wang tersebut tidak salah dari sudut undang-undang dunia, bukankah ia salah secara sudut moral apakah lagi dari nilai murni Islam kerana ia tidak ubah adalah sogokan kepada pengundi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan tindakan mengagihkan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika PRU15 lalu dengan mendakwa ia adalah sedekah.
Ahli Parlimen Marang itu menegaskan, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan dan undang-undang telah menetapkan hanya calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.
Mengulas lanjut, Raja Kamarul Bahrin berkata, PH hairan Pas turut terlibat dalam pengagihan wang semasa kempen itu sedangkan parti itu mendakwa mereka adalah pejuang Islam selama ini.
“Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar melalui kenyataan akhbar telah menyatakan perbuatan pemberian wang pada tempoh kempen PRU adalah satu ‘sogokan’ dan perbuatan ‘membeli undi’.
“Video-video pihak tertentu memberi wang kepada pengundi dengan janji ‘ikrar’ akan mengundi parti tertentu yang tersebar menguatkan lagi tuduhan tersebut,” katanya.
Pada minggu lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said telah membuat memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU-15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.
Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari itu dibuat kerana beliau mendakwa mempunyai bukti kukuh berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan itu ketika tempoh kempen PRU15. – MalaysiaGazette