Lokasi pokok tumbang dalam Zoo Melaka menyebabkan seorang pengunjung lelaki patah kaki kanan manakala isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun cedera ringan dalam kejadian 2.40 petang semalam.

MELAKA – Seorang pengunjung Zoo Melaka patah kaki kanan manakala isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun cedera ringan selepas dihempap pokok semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, mangsa lelaki berusia 43 tahun, isterinya berusia 40 tahun dan anak lelakinya, enam tahun ketika itu sedang berada kawasan kandang harimau.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tiga sekeluarga berkenaan sebelum itu menaiki kenderaan disediakan pihak zoo untuk bersiar-siar melihat pameran haiwan pada pukul 2.05 petang.

Lokasi pokok tumbang dalam Zoo Melaka menyebabkan seorang pengunjung lelaki patah kaki kanan manakala isteri dan anak lelakinya berusia enam tahun cedera ringan dalam kejadian 2.40 petang semalam.

“Sebaik tiba di kawasan kejadian 35 minit kemudian, tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menghempap hempap tiga beranak itu menyebabkan mangsa lelaki patah kaki kanan manakala isteri dan anaknya hanya mengalami cedera ringan.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut sebelum kawasan tersebut telah dibersihkan oleh pihak Zoo Melaka dan agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ),  Datuk Shadan Othman turut mengambil langkah segera turun padang meninjau lokasi kejadian terbabit.

Sementara itu, Shadan ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mengambil tanggungjawab sewajarnya terhadap tiga sekeluarga itu dalam insiden terbabit.

“Kejadian ini diluar jangka dan MPHTJ akan menanggung segala kos perubatan pengunjung zoo yang berasal dari Kajang, Selangor itu termasuk menguruskan kenderaan mereka pulang ke rumah.

“Pokok tumbang itu mungkin disebabkan faktor hujan berpanjangan sejak pukul 2 pagi menyebabkan struktur tanah longgar dan kerja-kerja pemantauan masih terus dilakukan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya. – MalaysiGazette