TikToker Saifuddin pengundi muda
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas menegaskan sogokan rasuah kepada pengudi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) seperti didakwa bukan satu amalan partinya, kata Khairil Nizam Khirudin.

Ketua Penerangan Pas Pusat itu berkata kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi jelas bercanggah dengan kenyataan sebenar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Presiden Pas ketika menjawab soalan media di Negeri Sembilan semalam (kelmarin) menyebut bahawa, undang-undang pilihan raya tidak membenarkan calon dan wakil calon memberikan sumbangan kepada pengundi tetapi jika ada individu atau orang awam yang hendak memberikan sumbangan, terpulang kepada mereka sendiri.

“Ada pun sumbangan orang awam tersebut tiada kaitan dengan calon, wakil calon atau Pas sebagai sebuah parti yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairil Nizam merujuk kenyataan Ahmad Zahid semalam yang mana menyebut “Kalau dia (Pas) buat dipanggil sedekah, kalau kita (UMNO) buat dipanggil rasuah,”.

Ahmad Zahid semalam berkata, sebagai ulamak, mereka perlu mempunyai integriti dan tidak boleh tukar fatwa sesuka hati.

“Ulamak-ulamak ni, jangan tukar-tukar hukum, jangan tukar fatwa.

“Ulamak kena ada integriti sebagai ulamak, jika tidak ulama politik tidak akan dihormati oleh rakyat dan oleh orang Islam,” katanya selepas sambutan Rumah Terbuka MCA pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam menegaskan, Pas sebagai parti Islam tidak tidak pernah mengamalkan sebarang bentuk politik wang atau sogokan rasuah kepada pengundi.

“Berbanding pihak lain yang terkenal dengan amalan politik wang sama ada dalam pemilihan parti mahupun pilihan raya, dan tiada keabsahan moral untuk membangkitkan perkara ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata, pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tidak menyalahi peraturan berikutan ia hanyalah sedekah kepada pengundi oleh orang awam.

Badan Perhubungan UMNO Terengganu dilaporkan memfailkan petisyen melibatkan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Januari, mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Selain itu, seorang pengundi, yang juga wakil kepada calon Barisan Nasional Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dilaporkan telah memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 3 Januari bagi mencabar keputusan PRU15 di kawasan terbabit. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.