Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mahu umat Islam negara ini bersatu menyokong bantahan tindakan membakar al-Quran di Sweden.

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, umat Islam juga perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keamanan bersama.

“YADIM menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk tindakan membakar al Quran
oleh ahli politik Sweden, Rasmus Paludan kelmarin.

“Paludan dan mereka yang berkongsi pandangan dengannya secara berterusan menyebar tindakan bersifat keganasan sejak April 2022.

“Justeru tidak hairan ia mengundang rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, khususnya warga yang beragama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rakyat negara ini juga, menurut Tuan Kamarul percaya, sikap biadap Paludan tidak melambangkan budaya dan kepercayaan majoriti rakyat Sweden yang lain.

“Tindakan ini ini seharusnya dihentikan segera untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“YADIM percaya, selain mengadakan bantahan menerusi saluran diplomatik, ajaran agama ini yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan mesti disebarkan bukan sahaja di dunia Islam semata mata,” ujarnya. – MalaysiaGazette