Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Pengakuan sedekah oleh pimpinan tertinggi Pas cukup membuktikan wujud aktiviti pemberian wang kepada orang ramai.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menggesa, satu siasatan secara menyeluruh dan bebas perlu dilakukan bagi menyiasat sumber wang dan tujuannya.

Kata beliau, penggunaan wang yang banyak oleh Pas ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu bukan amalan yang betul, baik dari segi undang-undang mahupun moral.

Malah, katanya, perbuatan yang dikatakan sedekah itu boleh mengelirukan orang ramai terutama generasi muda bahawa rasuah itu halal dan sah, asalkan berlapik dengan perkataan Arab “sedekah”.

“Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa duit yang diberikan ketika pilihan raya bukan rasuah tetapi sedekah.

“Ini sebenarnya bercanggah dengan penafsiran suapan dalam Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang juga menyebut mengenai perlakuan derma.

“Dalam erti kata lain, derma adalah satu bentuk rasuah. Sedekah berasal daripada bahasa Arab, tetapi dalam bahasa Melayu difahami sebagai derma,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Faiz menegaskan, dalil Pas itu seolah cuba berselindung di sebalik bahasa Arab untuk justifikasi perbuatan memberi wang ketika pilihan raya bukan satu perbuatan rasuah.

Ini katanya, menunjukkan pemikiran Pas yang semakin bercelaru dan menyimpang dari syariat Islam sebenar.

“Ironinya, Presiden Pas mendakwa sedekah bukan kesalahan pilihan raya, sedangkan wang undi itu diberikan ketika tempoh pilihan raya.

“Mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihanraya, perbuatan menyogok untuk mendapatkan undi adalah satu kesalahan pilihan raya dan boleh menyebabkan keputusan pilihan raya itu terbatal.

“Bagi tujuan apa wang itu diberikan ketika tempoh pilihan raya? Setiap sedekah itu ada tujuannya. Maka, perkara ini perlu disiasat pihak berkuasa sama ada SPRM atau polis,” ujar beliau.

Menurut Faiz, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Hamzah Zainuddin pula mendakwa, pemberian wang itu satu rasuah atau tidak bergantung kepada niat.

Dalam undang-undang, katanya, niat bukan dinilai daripada mulut pemberi, tetapi daripada bukti keadaan berdasarkan tempat, masa dan tujuan.

Katanya, kalau wang diberikan kepada seorang pengundi ketika tempoh pilihan raya oleh parti yang bertanding, tidak cukupkah ia sebagai satu niat sogokan?

“Hanya mahkamah yang akan menentukan perkara ini,” katanya. – MalaysiaGazette