KUANTAN – “Isteri pertama jadi ‘misi’ (jururawat) jaga suami sakit, isteri kedua keluar mencari nafkah keluarga”.

Itulah yang boleh digambarkan kesetiaan dan ketaatan isteri yang diuji apabila suami bernikah dua dan menghidap penyakit kronik.

Noraini Ishak, 42, akur ketika suaminya meminta izin untuk bernikah lagi namun kini mengakui kemanisan hidup bermadu bagi menjaga keperluan Maarof Nordin, 58, bersama madunya, Effa Rizam Abd Ghaffar.

Noraini Ishak (kiri) dan Effa Rizam Abd Gafar masing-masing menjaga hubungan bermadu dengan baik sehingga kini dan menjaga kebajikan suami mereka

Bahkan Noraini yang dahulu tinggal di Selangor berpindah ke Cherating, Pahang untuk menjaga Maarof yang menghidap penyakit kencing manis tahap 4 sejak Oktober tahun lalu.

“Lima tahun lepas suami meminta izin bernikah lain dan saya izinkan selepas kami menikah pada 2007.

“Pada Oktober tahun lalu bila tahu suami sakit, madu berbincang untuk sama-sama menjaga suami, saya pun berhenti kerja balik pindah ke Kuantan.

“Saya bersetuju menjaga suami sepenuh masa manakala isteri kedua setuju bekerja menyara keluarga,” katanya.

Jelas Noraini, penyakit kencing manis suaminya melarat bermula daripada kudis gatal akibat digigit semut dan nyamuk di sebelah kaki kiri.

Namun tambah beliau, ia melarat sehingga menyebabkan kaki belah kiri terpaksa dipotong sehingga paras paha.

Selain itu, kudis belakang badan sebesar tapak tangan di bahagian belakang suaminya juga memerlukan penjagaan rapi.

Bagi Effa, sebagai isteri kedua perngorbanan yang dilakukan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab selepas perbincangan bersama dilakukan.

Effa bekerja sebagai tukang kebun sekolah, beliau turut bekerja sambilan sebagai anggota Rela bagi mencari duit lebih.

“Ini pengorbanan kecil saya sebagai isteri, macam isteri pertama, dia tolong uruskan suami ketika saya keluar bekerja dan apabila saya balik, saya ambil alih tugas menjaga suami.

“Walaupun kami hidup sederhana, tapi inilah cara kami damai dalam kesederhanaan dan tetap bahagia cara kami,” kata ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherating Lama, di sini, hari ini.

Effa Rizam mengakui sumber pendapatan diperoleh ketika ini tidak mencukupi dan berterima kasih kepada pihak badan bukan kerajaan (NGO), Amal Team yang tampil menghulurkan sumbangan.

Sementara itu, Maarof menzahirkan rasa terharu dan hiba melihat pengorbanan kedua-dua isteri yang berkorban sama-sama menjaga beliau.

Maarof mengakui bebanan yang ditanggung Noraini yang bekerja seorang diri untuk menampung mereka sekeluarga tidak mencukupi, lebih-lebih lagi kos perubatan yang dihadapinya tinggi.

Maarof Nordin menunjukkan kaki kirinya dipotong akibat penyakit kencing manis tahap 4

Difahamkan maarof memerlukan sekurang-kurangnya RM600 bagi berulang alik ke hospital untuk membuat rawatan susulan dan ubat-ubatan.

Selain itu pihak hospital memaklumkan rawatan bagi membuat kaki palsu dianggarkan sebanyak RM23,000.

Justeru orang ramai yang ingin membantu meringankan beban mereka sekeluarga boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maarof, Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 11111 41000 296605 atas nama Maarof Noordin. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here