KUALA LUMPUR – Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberikan rawatan kecemasan dengan segera kepada sebuah keluarga yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, petang kelmarin.
Pentadbir laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, sewaktu kejadian, anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan dalam perjalanan ke Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.
Menurutnya, sebaik sahaja melihat kemalangan itu, pasukan perubatan Sultan Johor dengan segera memberikan rawatan kecemasan awal kepada mangsa-mangsa.
“Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk rawatan susulan dengan ambulans serta pacuan empat roda pasukan perubatan peribadi baginda.
“Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik.
“Ia termasuk peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette