PBM organisasi
Bendera Parti Bangsa Malaysia (PBM) di Bilik Gerakan Utama PBM Dun Bukit Antarabangsa, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2022.

SEREMBAN – Parti Bangsa Malaysia (PBM) Negeri Sembilan mengumumkan pembubaran dan perletakan jawatan semua Ahli Jawatankuasa negeri, Bahagian, Sayap Pergerakan Pemuda dan Wanita parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden PBM Datuk Larry Sng.

Pengerusinya, Rosman Jonet dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri, Negeri Sembilan di Laman Permai Juasseh, Kuala Pilah pada 20 Januari lepas.

Beliau berkata, pembubaran itu melibatkan Jawatankuasa Bahagian Port Dickson, Jempol, Tampin, Rasah, Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah.

“Secara konsensus dan permuafakatan, barisan kepimpinan bersetuju  meletakkan jawatan serta membubarkan keseluruhan ahli jawatankuasa negeri dan bahagian PBM berkuat kuasa serta-merta,” katanya. – Bernama