KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Brunei hari ini dan esok bagi menyantuni jemputan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Wisma Putra dalam kenyataan media hari ini memberitahu, beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Premier Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut serta adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Perdana Menteri dijadual untuk mengadap Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam dan Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan disusuli dengan perjumpaan empat mata di Istana Nurul Iman.
“Pertemuan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala serta meneroka peluang kerjasama baharu di dalam bidang berkepentingan bersama.
“Pertemuan ini akan diikuti dengan Majlis Persantapan Rasmi yang akan dihoskan oleh Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.
Wisma Putra menambah, Perdana Menteri juga dijadual untuk mengadakan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia di Bandar Seri Begawan.
Pada 2022, Brunei merupakan rakan dagangan dunia ke-26 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM 13.22 bilion (AS$2.98 bilion).
Jumlah eksport ke Brunei pula merekodkan RM7.4 bilion (AS$1.68 bilion), sementara jumlah import dari Brunei adalah RM5.82 bilion (AS$1.31 bilion). – MalaysiaGazette