Shahrulufti Sharif

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menentang sebarang bentuk perhimpunan pihak tertentu bagi mendesak banduan yang dihukum bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (Sosma) dibebaskan.

Putra turut menentang sebarang usaha mendesak kerajaan agar akta itu dimansuhkan, tegas Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif.

Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia yang prihatin bersama parti itu menggagalkan usaha pihak terbabit daripada mengganggu gugat keselamatan negara dan rakyat khususnya.

“Putra dari awal penubuhannya lagi komited untuk kerajaan kekalkan Sosma tanpa pindaan dan pada masa sama membawa balik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengelakkan huru hara serta ancaman kepada keselamatan rakyat.

“Malaysia mempunyai majoriti 70 peratus bumiputera Melayu di bawah payung negara iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

“Malaysia juga merupakan negara Ketuanan Melayu yang lahir daripada Persekutuan Tanah Melayu, bukan Sri Lanka. Oleh itu, Melayu bumiputera mengutamakan keselamatan rakyat dan negara, bukan mementingkan diri sendiri atau kepentingan politik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin DAP, P. Ramasamy yang dilaporkan akan menganjurkan kempen di seluruh negara bagi menggesa kerajaan memansuhkan Akta Sosma dan membebaskan lebih 100 tahanan yang ditahan bawah akta itu.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan Akta Sosma sebagai kejam dan menyebabkan ramai yang ditahan dalam penjara menunggu perbicaraan tanpa tempoh masa ditetapkan.

Dia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya membebaskan tahanan Sosma terlebih dahulu sebelum kerajaan menyemak semula undang-undang yang membolehkan penahanan selama 28 bulan tanpa bicara seperti dalam kes tahanan dari Sungai Petani, Kedah.

Mengulas lanjut kenyataan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, Shahrulufti berkata, Putra akan berjuang memastikan Akta ISA dikembalikan dan Sosma dikekalkan demi menjamin keselamatan negara dan warganegaranya.

“Sangat mudah, Ramasamy. Putra mahu kerajaan kembalikan ISA kerana Sosma tidak cukup untuk menjamin keselamatan negara dan rakyatnya.

“Ramasamy cuba membawa masalah kepada Malaysia dan desakan itu pula tidak lebih untuk kepentingan politik mereka.

“Putra mengingatkan Ramasamy, jika hendak kekal sebagai Timbalan Menteri Pulau Pinang, dia mesti memastikan negara ini selamat dan demokrasi dapat berfungsi dengan berkesan,” katanya. – MalaysiaGazette