Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif menyambut baik tindakan kerajaan meluluskan peruntukan RM1 billion bagi menaiktaraf prasarana sempadan Sabah dan Sarawak.

Katanya, selain pemberian khas RM300 juta kepada Sarawak, usaha itu bukti kesungguhan kerajaan memastikan semua rakyat dapat akses setara baik dari segi dana kerajaan mahu pun pertumbuhan infrastruktur serta ekonomi dan sosial.

“Peruntukan RM1 billion ini merupakan langkah awal yang tepat dan dijangka dapat memberi implikasi positif kepada perkembangan ekonomi serta sosial masyarakat Sabah dan Sarawak dalam masa yang singkat.

“Pada masa sama, usaha itu dapat memperkukuhkan lagi keselamatan rakyat kita di kawasan-kawasan sepanjang sempadan Malaysia dan Kalimantan yang bakal menjadi ibu kota baharu Indonesia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Norazlinah yang juga Ketua Wanita Warisan berkata, bagaimanapun, selaku wakil rakyat, pihaknya merasakan bahawa perkara infrastruktur sempadan itu merupakan isu utama yang digusari masyarakat Sabah dan Sarawak.           

“Katanya, pembangunan pusat pentadbiran baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan membabitkan kos RM135 billion (466 trilion rupiah) itu, selain merancakkan ekonomi di pinggir sempadan Sabah dan Sarawak, ia turut diancam pelbagai risiko ekonomi serta sosial.

“Penyeludupan haram, pemerdagangan manusia, serta pelbagai lagi ancaman yang turut hadir dengan pembangunan ekonomi yang pesat adalah amat dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap masyarakat setempat.

“Justeru, infrastruktur persempadanan yang efisien dan berkesan hasil daripada peruntukan naiktaraf RM1 billion ini dapat menyumbang untuk mengawal risiko berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette