KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam menyiasat kes rasuah berdasarkan peruntukan undang-undang dan ia tidak tertakluk kepada pemahaman peribadi semata-mata.
Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sedekah atau sumbangan tetap dianggap sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi untuk mengundi pada pilihan raya.
Jelasnya, rasuah adalah rasuah tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana takrifan undang-undang jelas apa yang dimaksudkan dengan ‘pembelian undi’.
“Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 adalah sangat jelas dan apa jua istilah awam digunakan mempertahankan hujah adalah tafsiran peribadi semata-mata.
“Tidak kira ia ‘sedekah’ atau ‘sumbangan’, undang-undang menganggapnya sebagai rasuah yang dibayar kepada pengundi, tidak kira sama ada pengundi memintanya atau tidak,” katanya kepada The Star, semalam.
Dalam pada itu, kata Azam Baki, pihaknya telah membuka beberapa kertas siasatan selepas menerima aduan pada dan selepas pilihan raya.
Beliau menyatakan demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang Abdul Hadi yang mempertahankan tindakan individu-individu yang mengagihkan wang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah yang disifatkan pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberi sumbangan.
Ahli Parlimen Marang itu berkata demikian berikutan tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman yang dimenangi calon Pas. -MalaysiaGazette