Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan hadir untuk meninjau ke tapak pembinaan perumahan bagi Program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Galeri Jualan Residensi Sateria, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Putrajaya menegaskan kerajaan mempunyai aset yang mencukupi untuk memantau kawasan pertikaian di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu dibuat bagi memantau kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan milik Malaysia yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

“Saya tidak guna perkataan ceroboh lagi. Sebab ini adalah kawasan sama-sama claim jadi tidak mengapa begitu. Lebih daripada cukup,” katanya dalam sidang media semasa lawatan ke galeri jualan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) hari ini.

Mohamad diminta mengulas mengenai laporan media yang kapal peronda kelas-Kedah milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kelantan (PV175) kini berada di perairan sekitar Beting Patinggi Ali bagi memantau kehadiran kapal pengawal pantai China.

Menurut pemilik akaun Twitter, Ray Powell @GordianKnotRay, kapal peronda TLDM itu tiba di perairan sekitar Beting Patinggi Ali semalam untuk memantau kapal pengawal pantai China, CCG 5303.

Menurut beliau, kapal pengawal pantai China terbabit telah berada di kawasan perairan Beting Patinggi Ali sejak 12 Januari lalu untuk menganggu kerja-kerja eksplorasi gas dan minyak yang sedang giat dilakukan oleh beberapa syarikat di kawasan itu.

Tambah Mohamad lagi, aktiviti pemantauan itu kini dilakukan Anggota Tentera Malaysia (ATM) terdiri daripada tentera darat, laut dan udara.

“Kita mengawasi keadaan di mana tentera udara, laut dan darat bersedia dan kita juga meletakan aset kita di sana supaya ia tidak menjadi doctrine of estopple dimana tidak ada pihak yang menuntut.

“Bila kita letak aset kita di sana, ia menjadi hak milik maka kita letak aset kita di sana. Ini kawasan pertindihan begitulah. Masing-masing nak buktikan kawasan mereka dan kita akan buktikan dengan mempunyai aset kita berada di sana buktikan kita pun nak claim kawasan yang sama,” katanya lagi.

Untuk rekod, Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE) Malaysia.

Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.

Pada Julai 2020, kerajaan Malaysia menegaskan pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast