Mujahid Yusuf.- Foto MOHD ADZLAN, 30 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semua pihak khususnya pemimpin parti politik Islam yang terdesak mencari dalil agar berhenti daripada mencemari amalan baik bersedekah.

Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa turut menasihatkan pengikut parti terbabit supaya tidak mempertahankan perbuatan keji itu.

“Bersedekah ada adabnya dan mengungkit dengan bersyarat supaya menyokong parti tertentu dalam pilihan raya umum pastinya tidak ada kena mengena dengan maqasid sadaqah (tujuan syariat dalam bersedekah).

“Memberi rasuah politik dan bersedekah bezanya umpama langit dan bumi, rasuah itu keji manakala bersedekah amalan yang terpuji.

“Para pentaksub tegar janganlah mempertahankan kekejian ini, kembalilah kepada hadis dan ayat-ayat al-Quran untuk mendapat petunjuk tentang erti bersedekah dan adab-adabnya. Tolong jangan cemari kemuliaan bersedekah dan peliharalah nama baik Islam!” katanya.

Menurut Mujahid, sedekah atau dalam bahawa Arab sadaqah bermakna sesuatu pemberian kepada fakir miskin.

Sama ada dalam bentuk wang, harta, makanan atau pakaian dengan niat taqarub kepada Allah.

Perbuatan itu, katanya, bukan untuk menunjuk-nunjuk dengan manusia dan bersikap riak.

Katanya, perbuatan bersedekah termasuk dalam tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah pada hari akhirat.

“Adab bersedekah sangat mulia kerana perbuatannya dikira sebagai ganjaran pahala yang tinggi di sisi Allah.

“Oleh kerana ia perbuatan yang mulia, Allah memastikan kemuliaan perbuatan sadaqah itu tidak dicemari dengan akhlak yang keji seperti memberi dengan mengungkit-ungkit, menyakiti orang yang menerima sedekah dengan kata sombong dan menunjuk-nunjuk.

“Perbuatan mulia bersedekah boleh terbatal dengan membangkit-bangkitkan kebaikan pelakunya,” tegas Mujahid.

Perbuatan sedekah menjadi perhatian selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa ia adalah sedekah dan pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Katanya, undang-undang telah menetapkan bahawa setiap calon dan wakil calon tidak boleh memberi wang ketika berkempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri (wang) tetapi orang awam mahu beri sedekah, terpulang kepada dia,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas langkah UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Dijangkakan lebih ramai orang2 muda dan tua akan meyedekahkan undi mereka sekeluarga kepada Pas dalam PRU negeri2 Selangor, N Sembilan dan Pulau Pinang tidak lama lagi. Ramai yang sudah bersiap sedia.

  2. ada islam dipergunakan . ada ilmu tipu orang jahil . ada harta beli undi kata sedekah . ada kes tutup dengan hujjah . ada kuasa hukum musuh biar kalah . ada kawan ajak subhat pakat sokong .

Comments are closed.