Anggota trafik dari IPD Shah Alam yang tercedera sedanng menerima rawatan di Hospital Shah Alam. - Gambar ihsan IPD Shah Alam.

KUALA LUMPUR – Seorang anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya membabitkan motosikal berkuasa tinggi dan sebuah kereta hari ini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Kilometer 8.9 Lebuhraya Persekutuan tengahari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku pukul 12.45 tengahari dan kemalangan melibatkan motosikal PDRM dengan sebuah kereta awam.

Katanya, mangsa Sarjan Abdul Jalil Md. Said berusia 35 tahun bertugas di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam.

“Kejadian berlaku semasa motosikal anggota PDRM jenis Honda CBX750 sedang melakukan tugasan rondaan Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina menuju dari arah Shah Alam ke arah Klang.

“Anggota itu didapati pada waktu itu bergerak lurus di lorong kiri dan setibanya di KM8.9 Lebuh Raya Persekutuan, sebuah kereta jenis Proton X70 yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun telah masuk membelok ke susur kiri secara mengejut untuk menuju ke stesen minyak.

“Akibat perbuatan mengejut pemandu kereta itu, mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar kereta tersebut di bahagian tepi sebelah kiri lalu terjatuh atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, akibat perlanggaran, mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian muka serta tangan.

“Mangsa telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam dan sedang menerima rawatan dan kertas siasatan telah dibuka terhadap insiden itu dan kes sedang disiasat mendalam oleh polis di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mana-mana saksi kejadian atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.- MalaysiaGazette